


Ketupat daun kelapa lebih wangi
Asal tradisi Jawa, ia kini hidangan wajib setiap kali tiba Hari Lebaran
MENJELANG hari raya, tidak sempurna hidangan pada pagi lebaran tanpa menjamu ketupat. Ia seumpama menu sinonim bagi umat Islam di Malaysia ketika menyambut Aidilfitri.
Ketupat mendahului senarai sajian utama di samping rendang dan lemang. Hakikatnya makanan warisan nenek moyang dari zaman ke zaman itu tidak pernah dilupakan khasnya pada hari raya.
Baik ketupat dianyam dengan daun mahupun menggunakan kelonsong plastik polyethylene, hidangan ini menjadi buruan termasuk kanak-kanak dari dulu hingga sekarang.
Ketupat daun palas lazimnya popular di utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Manakala ketupat daun kelapa merupakan hidangan wajib di negeri selatan terutama Johor.
Halimah Shuib, penulis prolifik majalah Saji dan menulis sendiri buku resipi Masakan Tradisi Johor mengakui ketupat adalah sajian yang perlu pada setiap Aidilfitri.
"Di Johor, jika tiada ketupat, hari raya bagaikan tidak berseri. Biasanya makanan tradisi ini dimakan dengan kuah kacang atau sambal lodeh," jelas Halimah yang berasal dari Batu Pahat.
Untuk menyediakannya, ringkas sahaja tetapi memerlukan pembuatnya mempunyai kemahiran tertentu untuk menganyam kelongsong daun bagi menampung beras yang akan dimasak.
"Ketupat masih kekal dalam tradisi orang Johor pada musim perayaan. Apabila tiba hari raya, ketupat adalah hidangan paling dinantikan, tidak kira dewasa atau kanak-kanak," katanya.
Namun Halimah mengakui kemahiran membuat ketupat jenis jantung sudah semakin kurang dikuasai oleh generasi muda kerana faktor teknik menganyam kelongsong yang agak sukar.
Selaku orang lama dalam bidang masakan tradisional Johor, beliau turut berpesan, sifat ketupat dimasak secara tradisi yang cantik bentuknya dan tekstur mempunyai rasa berlemak.
"Bau yang wangi setelah masak membuatkan hidangan ini sentiasa dicari apabila tiba musim raya. Ketupat yang dimasak menggunakan daun kelapa juga tahan lebih lama," kata Halimah
Wanita berusia 64 tahun ini bagaimanapun gusar arus pemodenan bakal membuatkan masyarakat melupakan unsur tradisi dalam menyediakan ketupat versi tradisional.
Ini kerana ramai orang sekarang yang sentiasa mengejar masa dan mahu benda baru lebih cenderung memilih ketupat segera yang mudah didapati di kedai.
Satu perkara yang harus diberi perhatian ialah tidak ramai anak muda tahu menganyam ketupat dan usaha perlu dibuat untuk mengetengahkan seni anyaman agar tidak pupus ditelan masa.
Bercakap mengenai sejarah, ketupat dipercayai berasal dari Jawa namun uniknya makanan ini hanya dihidang masyarakat Islam di pulau tersebut seminggu setelah hari raya pertama.
Dikenali sebagai tradisi Bakda Kupat bererti lebaran ketupat, ia juga disebut Bakda Cilik atau lebaran kecil. Perkataan bakda berasal daripada bahasa Arab, 'bakda' yang bermakna selepas.
Ia hasil asimilasi budaya Hindu dan Islam yang juga dilakukan Wali Songo. Bezanya dulu ialah tradisi masyarakat Jawa mengirim doa kepada arwah anak kecil yang meninggal dunia.
Setelah Islam datang, tradisi ini tidak dimatikan tetapi menjadi medium dakwah wali Sunan Kalijaga dengan menyerap ajaran Islam lalu berubah fungsi seumpama hari raya kecil.
Ketupat secara rasmi dimakan bermula pada hari ketujuh selepas 1 Syawal kerana masyarakat Jawa berpuasa sunat enam hari Syawal berterusan tanpa tinggal walaupun sehari.
Namun tradisi Bakda Kupat ini sendiri semakin lama kian dilupakan generasi moden Jawa yang kini jarang berpuasa sunat ketika Syawal sebaliknya berpesta hari raya selama sebulan.
Sebenarnya, ketupat memiliki falsafah tersirat, misalnya daun kelapa muda kuning yang dianyam adalah lambang penolak bala dan bentuk empat penjuru ialah tanda menuju ke satu kiblat.
Ia juga membawa maksud 'kiblat papat lima pancer' iaitu ke mana pun manusia menuju, pasti selalu kembali kepada Tuhan dan jika tanpa arah, manusia hilang keseimbangan hidupnya.
Beras menjadi isi ketupat bererti mendoakan agar kita setelah hari raya selalu dilimpahi kemakmuran manakala santan untuk merebus pula bermakna memohon kemaafan zahir dan batin.






