
Perompak 'berputih mata' tersilap beg
Di saat kebanyakan pihak sibuk dengan pilihan raya kecil di Permatang Pauh di sini semalam, sekumpulan empat lelaki mengambil kesempatan merompak seorang pengurup wang.
Bagaimanapun, dalam kejadian rompakan bersenjata di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) itu, empat lelaki yang memakai topeng terpaksa 'berputih mata' apabila sebuah beg yang dilarikan itu tidak mempunyai wang sebaliknya hanya berisi pakaian.
Pegawai Perhubungan Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Supritendan Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian berlaku pukul 9.30 pagi apabila pengurup wang berkenaan tiba di LTABL dengan membawa pelbagai mata wang asing bernilai kira-kira RM1.9 juta untuk dibawa ke luar negara.
Katanya, lelaki berkenaan datang ke LTABL bersama sebuah van kawalan keselamatan.
"Apabila tiba di lapangan terbang, pengurup wang tersebut mengambil sebuah troli dan meletakkan beg pakaian di dalamnya.
"Tiba-tiba pada masa sama datang tiga lelaki bertopeng dan bersenjata- kan pistol melepaskan 10 das tembakan dengan satu daripadanya mengenai telinga mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini.
Menurutnya, kesemua perompak terbabit melarikan diri bersama beg berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Lexus berwarna hitam apabila menyedari pengawal keselamatan LTABL menghampiri mereka.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan